17 September 2009

MENYENTAP HATI...


Suatu waktu dalam perjalanan bertazkirah di Pulau Sayak terpandang di pagar sebuah masjid...

AMALAN SUNNAH DI HARI RAYA IDILFITRI


Saudaraku muslimin muslimat yang dirahmati Allah, marilah sama-sama kita melaksanakan beberapa amalan sunnah sempena Idil Fitri ini. Antaranya ialah;


MEMPERBANYAKKAN TAKBIR

Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa ia apabila pergi ke tanah lapang di pagi hari raya, beliau bertakbir dengan mengeraskan suara takbirnya. Dalam riwayat lain (dikatakan): Beliau apabila pergi ke tempat shalat pada pagi hari raya ketika matahari terbit, beliau bertakbir hingga sampai ke tempat shalat, kemudian di tempat shalat itu beliau bertakbir pula, sehingga apabila imam telah duduk, beliau berhenti bertakbir. [HR. asy-Syafi‘i dalam al-Musnad, I:153, hadis no. 444 dan 445]

Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(HR. Ibn Majah)


MANDI SUNAT HARI RAYA

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebelum ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: "Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Idiladha dan Idilfitri." (HR. Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119).


MAKAN SEBELUM KELUAR MENUNAIKAN SOLAT

Dari Anas bin Malik r.a. “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Idilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.”. (HR. Al-Bukhari)


MENGUCAPKAN SELAMAT DAN MENDOAKAN

Berkata Wathilah “Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka"(Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) (HR. Al-Baihaqi, Rujuk Fath Al-Bari 2/446)

Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah." (HR. Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)


MEMAKAI PAKAIAN TERBAIK DAN INDAH

Imam Syafie r.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Idiladha dan Idilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” (Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327)

Hassan bin Ali berkata, “Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.


BERJALAN KAKI KE TEMPAT SOLAT HARI RAYA

Dari Ali bin Abi Thalib r.a "Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." (HR. Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487).

Dari Jabir r.a “Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (HR. Al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986)


MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI

Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: "Pada hari raya Idilfitri dan Idiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." (HR. Al-Bukhari).


MENZIARAHI SAUDARA DAN SAHABAT

Sabda Rasulullah SAW: "Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku". (HR. Ahmad).


BERGEMBIRA PADA HARI RAYA

Syeikh Sayyid Sabiq berkata: "Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." (Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290).


MENGERJAKAN PUASA SUNAT DI BULAN SYAWAL

Dari Abu Ayyub Al-Anshari ra. "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun”. (HR. Muslim).